2 JAN : Satu jambatan sementara, Compact Bailey 200, dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Operasi Murni (Op Murni) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), di Kampung Jawa, Sungai Lui, Hulu Langat bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi ATM, hari ini jambatan sepanjang 18.24 meter (m) dan lebar 7.35 m itu, yang merupakan aset yang dibekalkan oleh JKR Selangor dapat memberi manfaat kepada 12 keluarga yang menetap di kampung berkenaan.
Menurut ATM dalam kenyataan itu, Pemasangan jambatan ini merupakan usaha bagi memulihkan laluan perhubungan penduduk di kawasan tersebut, yang terjejas kerana jambatan asal runtuh akibat banjir baru-baru ini.
“Program ini di bawah Markas 4 Divisyen dan bantuan Rejimen Askar Jurutera DiRaja melalui Skuadron Kedua Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD), telah berkolaborasi dengan JKR Daerah Hulu Langat dan Daerah Petaling dalam kerja-kerja pemasangan jambatan ini,” jelas ATM dalam kenyataan itu.
Penugasan berkenaan adalah selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan dan ATM serta Tonggak Ke-5 Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Meningkatkan Kerjasama ATM dan Tentera Darat Malaysia bersama dengan agensi awam dan rakyat.
Sementara itu JKR dalam kenyataannya menyatakan jambatan berkenaan akan boleh digunakan oleh orang ramai, bermula Selasa ini.