2 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak 2,882 kes positif baharu COVID-19 setakat tengah hari tadi, memperlihatkan pengurangan berbanding sebanyak 3,386 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi satu hantaran terbaharu di dalam Facebooknya berkata, angka terbaharu itu menyumbang kepada sejumlah 2,764,354 kes positif wabak itu setakat ini di Malaysia.
KKM katanya turut mengesan sebanyak 333 kes import yang membabitkan 313 warganegara dan 20 lagi warga asing.
“Daripada 2,882 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 49 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,833 kes atau 98.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 284 kes dan sebanyak 156 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, hanya satu kluster jangkitan dikesan hari ini, menjadikan jumlah kluster jangkitan COVID-19 kini sebanyak 6,134 dengan 5,925 kluster sudah ditamatkan dan 209 lagi masih aktif.
Sementara itu, KKM turut melaporkan sebanyak 3,291 kes sembuh, yang menyumbang kepada sejumlah 2,692,216 kes pulih daripada jangkitan COVID-19 atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Daripada angka kes harian setakat tengah hari tadi,l menurut Noor Hsiham, KKM turut mengesan sembilan kes positif baharu dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan seramai 460 mangsa banjir dikesan dijangkiti wabak berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kes positif baharu COVID-19 serta kluster baharu dikesan di 143 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi ketika ini di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Melaka, Johor, dan Negeri Sembilan.
Selain itu, sebanyak 63 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu 42 kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan masing-masing 11 dan 10 kes untuk penyakit Acute Gastroenteritis (AGE) dan penyakit kulit.