2 JAN : Sarawak akan memulakan program vaksinasi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun bermula Februari tahun ini menggunakan vaksin Pfizer-BionNTech.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Kerajaan Sarawak kini sedang dalam proses persiapan bagi menguruskan pemberian vaksin COVID-19 itu.
“Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memulakan proses vaksinasi pada Februari menggunakan Pfizer-BioNTech,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Pemberian vaksin untuk kanak-kanak bawah 12 tahun itu sejajar dengan pembukaan semula sesi persekolahan akan datang.
“Memandangkan sesi persekolahan secara fizikal akan bermula, kerajaan Sarawak telah bersedia melaksanakan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sesi persekolahan tahun ini pada mulanya dijadualkan bermula 3 Januari, namun Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menangguhkan kepada 9 Januari selepas mengambil kira situasi banjir semasa negara.
Dalam perkembangan lain, Dr Kui Hian berkata Sarawak akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara esok.
“Ini memandangkan jumlah kes COVID-19 telah menurun dan sudah hampir 14 hari sejak Pilihan Raya Sarawak Ke-12 berakhir. Bagaimanapun saya ingin mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah ekoran kemunculan kes varian Omicron Covid-19 di negeri ini,” ujarnya.