3 JAN: Enam sungai di Pahang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing di Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran dan Rompin manakala satu di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang, Hulu Langat setakat jam 8 pagi ini.
Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), enam sungai di Pahang itu ialah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis yang merekodkan bacaan 98.10 meter (m) berbanding paras bahaya 98m.
Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut pula merekodkan 46.06m berbanding 45m; Sungai Pahang di Kuala Krau Temerloh dengan catatan 40.51m berbanding 40m; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dengan catatan 33.37m berbanding 30.50m.
Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran yang merekodkan bacaan 28.46m berbanding 28m manakala Sungai Pukin, Rompin dengan catatan 45.26m berbanding 45m.
Selain itu, 13 sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran manakala paras waspada pula membabitkan sembilan sungai.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula melaporkan seramai 1,956 mangsa banjir daripada 616 keluarga masih berada di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.
Jumlah itu membabitkan mangsa banjir daripada sembilan sembilan daerah iaitu Pekan, Temerloh, Raub, Lipis, Bera, Maran, Rompin, Jerantut dan Kuantan.
Dalam pada itu, paras Sungai Langat di Bukit Changgang mencatatkan bacaan setinggi 4.29m berbanding paras normal 4.20m.
Sungai Langat di Dengkil dalam daerah Sepang pula melepasi paras amaran iaitu 7.07m berbanding bacaan normal 6.90m.
“Tiga lagi sungai berada melepasi paras berjaga-jaga (kuning) iaitu Sungai Klang di Bandar Klang yang mencatatkan bacaan 2.47m.
“Sungai Langat di JPS Sungai Manggis (2.22m) dan Pintu Air Kampung Teluk Pulai (1.33m) dalam daerah Kuala Langat,” menurut laporan itu.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my untuk melihat perkembangan terkini dari semasa ke semasa paras air di seluruh negara.