3 JAN: Sebanyak 8,330 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara akan digerakkan bagi memberi bantuan di kawasan terjejas banjir ketika ini.
Mementerian Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata ahli KRT terbabit akan digerakkan bagi melakukan tugas sukarelawan termasuk membantu membersihkan rumah mangsa bersama badan bukan kerajaan (NGO).
“Seramai 250,000 anggota komuniti KRT ini sedia digerakkan bagi membantu mangsa banjir terjejas di seluruh negara.
“Sekiranya ada kawasan KRT terjejas banjir, kita akan gerakkan ahli dari kawasan atau negeri lain bagi membantu mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, Kota Tinggi hari ini.
Terdapat 117 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka di Kampung Baru Mawai dinaiki banjir semalam.
Katanya, komuniti KRT terbabit turut diarah bertugas di dapur komuniti yang dibuka kementerian bagi mengagihkan bantuan makanan panas kepada mangsa banjir.
Sementara itu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, Kota Tinggi bersiap siaga membuka lebih banyak PPS jika banjir semakin buruk berikutan hujan berterusan.