3 JAN : Pasukan Bencana Istana Negara yang disertai 35 sukarelawan yang diketuai Juruiring Tentera Laut kepada Yang di-Pertuan Agong, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim, meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di Karak, Pahang.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Istana Negara, kerja pembersihan rumah dan kawasan persekitaran mangsa banjir dilaksanakan di Taman Wijaya di daerah tersebut.
Turut hadir, Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Yang di-Pertuan Agong, Brigedier Jeneral Datuk Zahari Yahya dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.
Misi berkenaan buat julung kalinya membabitkan penyertaan 15 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers) dan kerjasama itu adalah atas perkenan dan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pasukan Bencana Istana Negara turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dari Kuala Lumpur, TMROVers dan sukarelawan Sime Darby bagi membersihkan kawasan perumahan, memasak serta mengedarkan makanan tengah hari kepada penduduk yang terjejas.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan hasrat supaya Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir,” kata kenyataan itu.