4 JAN : Sebanyak 10 tan Al Quran yang rosak akibat banjir sejak Disember lalu telah berjaya dikumpulkan untuk proses pelupusan.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menerusi satu kenyataan hari ini berkata,
usaha pengumpulan itu hasil kerjasama SWCorp Wilayah Persekutuan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)
Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, usaha berkenaan adalah amat baik bagi menjaga kesucian ayat al-Quran.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tanpa mengira agama yang menemukan al-Quran yang dihanyutkan banjir wajar menyerahkannya kepada masjid dan surau yang terdekat.
“Masjid dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor boleh menghubungi SWCorp Wilayah Persekutuan untuk diuruskan pengambilan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sejak 27 Disember tahun lalu menurut Rizalman, SWCorp Wilayah Persekutuan membantu mengutip dan menghantar sebanyak 5,631 kilogram al-Quran dan dokumen yang rosak akibat banjir untuk pelupusan.
Selain itu, sebanyak 4,653.6 kilogram al-Quran pula dihantar terus ke Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur, katanya lagi.
Usaha pengumpulan ini jelasnya akan diteruskan pihaknya sehingga 31 Januari ini.
“Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan SWCorp Wilayah Persekutuan bolehlah menghubungi beberapa wakil kami, Muhammad Fahmi (012-374 5935), Azlan (019-842 5442) dan Ummi Kalthum Shuib (019-4460300),” katanya.
Sementara itu, Jawi menerusi kenyataan berkata, selain Lembah Kelang, pihaknya menerusi Sukarelawan Masjid Wilayah Persekutuan turut membantu mengumpulkan al-Quran rosak akibat banjir di sekitar Mentakab, Pahang.
“Al-Quran yang rosak itu turut dibawa ke Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Kuala Lumpur untuk dilupuskan,” katanya
.