4 JAN: Sebanyak 802 lokasi daripada 895 lokasi jalan, jambatan dan cerun terjejas akibat bencana di seluruh Semenanjung sejak 18 Disember lalu telah berjaya dibersihkan sehingga Ahad lalu.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, 895 lokasi berkenaan meliputi 375 lokasi banjir, banjir kilat (60), lokasi cerun runtuh (433), lokasi jalan runtuh (21), lokasi jalan mendap (4) dan lokasi jambatan rosak/runtuh (2).
“Pahang paling banyak lokasi terjejas iaitu 566 lokasi terlibat dengan kerja pembersihan di 533 lokasi sudah selesai.
“Ini diikuti Selangor 162 lokasi dengan 134 lokasi pembersihan sudah selesai dan Negeri Sembilan (62 lokasi /45 lokasi pembersihan sudah selesai).
“Manakala di Kelantan (38 lokasi /34 lokasi pembersihan sudah selesai), Melaka (22 lokasi /17 selesai), Perak (17 lokasi semua kerja pembersihan sudah selesai), Terengganu (14 lokasi /13 selesai), Kedah (8 lokasi /3 selesai) dan di Johor (6 lokasi, semua kerja pembersihan sudah selesai),” katanya dalam Facebooknya semalam.
Beliau berkata, kos pembaikan infra rosak akibat Monsun Timur Laut setakat 2 Jan lalu dianggarkan RM967.2 juta untuk 895 lokasi.
Daripada jumlah itu, katanya RM571.7 juta diperlukan bagi pembaikan 522 jalan Persekutuan, manakala RM395.5 juta untuk 373 jalan negeri.
Sebelum itu, Fadillah turut meninjau dua lokasi infra terjejas bencana di Hulu Langat, Selangor iaitu Batu 19, Jalan Sungai Lui dan KM13.2 FT3210 Jalan Industri, Hulu Langat.
Di Batu 19, beliau meninjau kerja-kerja pemasangan siap Jambatan Compact Bailey dan kerja-kerja mengorek bahu jalan bagi tujuan pemasangan sangkar gabion di tebing sungai yang runtuh di KM 13.2 FT3210 Jalan Industri, Hulu Langat.