9 kawasan terjejas banjir dikecualikan bayar bil air
4 JAN : Penduduk di sembilan kawasan di ibu negara yang terjejas banjir baru-baru ini diberi pengecualian bayaran bil bagi bulan ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengecualian bayaran bil bagi bulan ini adalah kepada kepada pelanggan akaun domestik (Kod Tarif 10)
Menurut kenyataan itu, antara kawasan layak menerima pengecualian bayaran bil itu ialah Kampung Pasir, Jalan Batu Bata dan Jalan Rahmat (berhampiran WTC KL), Jalan Raja Chulan, Kampung Chubadak, Kampung Delima, Kampung Kasipillay, Kampung Kolam Air, Lorong Jambu Laut, dan Lorong Raja Mahadi.
“Pelanggan yang berada di kawasan terjejas banjir akan menerima pengecualian itu secara automatik bagi tempoh satu bulan yang tidak memerlukan mereka mengisi atau menghantar sebarang borang kepada syarikat pembekal air itu.
“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan Air Selangor, namun pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang dinyatakan,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, Air Selangor memahami kesulitan dialami pelanggan terkesan dengan insiden banjir dan berharap bantuan itu akan membantu meringankan beban mereka.