4 JAN : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli menziarahi dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Keratong, Rompin, Pahang.
Dalam satu kenyataan Istana Negara menerusi Facebook rasminya, turut mengiringi Sultan Abdullah ialah Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim bin Dato’ Haji Mohd Sidek dan pemimpin setempat.
“Pada lawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa 2 jam bermula jam 12.00 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 1 dan PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 2.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di dua PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung mereka akibat musibah banjir,” kata kenyataan tersebut.
Sejumlah 96 mangsa banjir daripada 29 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 1, manakala 211 mangsa daripada 61 keluarga pula di PPS Sekolah Kebangsaan Keratong 2.