4 JAN : Filipina memperluas perintah sekatan COVID-19 di Manila mulai esok, melibatkan lebih 11 juta warganya di wilayah Bulacan, Cavite dan Rizal di sekitar Manila susulan lonjakan mendadak kes COVID-19 ketika ini.
Jabatan kesihatan memberi amaran jumlah kes mungkin meningkat beberapa hari lagi berikutan pengesanan kes varian Omicron.
Menerusi sekatan lebih ketat sehingga pertengahan Januari ini, penduduk tidak divaksin dilarang keluar rumah, kecuali hendak membeli barang keperluan atau bersenam. Restoran, taman, gereja dan salun kecantikan akan beroperasi pada kapasiti lebih rendah, manakala kelas bersemuka dan beberapa jenis sukan, digantung.
Perintah itu dikeluarkan sehari selepas Manila beralih ke Tahap Amaran Ketiga.
Menurut Setiausaha Kesihatan, Rosario Vergeire , kira-kira 70 peratus penduduk di Metro Manila lengkap divaksin tetapi kurang daripada separuh penduduk di negara itu diberi vaksin lengkap.
Vergeire berkata, jabatan kesihatan menganggap 109 juta penduduk berisiko tinggi berikutan lonjakan kes dalam beberapa hari lalu, walaupun kemasukan ke hospital masih terkawal.