4 JAN: Keadaan banjir di Johor semakin teruk dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada seramai 5,479 orang, pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu terdiri daripada 1,486 buah keluarga yang ditempatkan di 78 buah PPS.
“Daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini ialah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat.
“Segamat kekal daerah paling teruk terjejas akibat banjir dengan seramai 4,016 mangsa direkodkan, diikuti Mersing (548), Tangkak (434) dan Kota Tinggi (210),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Vidyananthan, ramalan kaji cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan Johor dengan tahap Amaran Hujan Berterusan Buruk bagi seluruh negeri untuk hari ini.
“Sementara itu, status notifikasi bacaan sungai dalam status bahaya menunjukkan empat sungai di Segamat manakala satu sungai di Tangkak.
“Sungai tersebut ialah Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Kesang di Tangkak,” jelasnya.