5 JAN: Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya terhadap tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat.
Beliau menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit termasuk akaun media sosial Edisi Siasat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Saya buat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasi saya,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, petang ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata Jawatankuasa Aduan (JKA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan 31 penambahbaikan tatacara kerja SPRM.
Katanya, antara cadangan itu adalah berkaitan ketidakpatuhan dalam pengendalian barang kes, kelemahan pengendalian dokumen penting dan pemeriksaan prosedur siasatan serta keperluan logistik.
“JKA bertanggungjawab untuk mengenal pasti kelemahan, tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan, selain memberi cadangan dan syor yang difikirkan patut mengenai tatacara kerja suruhanjaya.
“JKA bertanggungjawab memantau pengendalian oleh suruhanjaya berkaitan aduan mengenai salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai suruhanjaya,” katanya