5 JAN: Kazakhstan mengisytiharkan darurat di bandar besar, Almaty selepas ribuan rakyatnya melancarkan protes berhubung kenaikan harga minyak di negara bekas Soviet itu.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev mengisytiharkan darurat berkenaan wilayah barat yang kaya dengan minyak itu hari ini ekoran keadaan huru-hara di bandar itu sejak semalam.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk meredakan kekacauan yang bermula di barat negara itu berhubung kenaikan harga tempatan bagi Gas Petroleum Cecair (LPG).
Tokayev menandatangani perintah mengenai keadaan darurat di Almaty dan wilayah barat Mangystau yang kaya dengan hidrokarbon berkuat kuasa dari 5 Januari hingga 19 Januari, lapor laman web presiden.
Perintah berkurung akan dilaksanakan di kedua-dua wilayah dari jam 11 malam hingga 7 pagi.
Tokayev beberapa jam sebelum itu dalam video di Facebook yang dimuat naik oleh Setiausaha Akhbarnya, Berik Uali meminta rakyat negara itu supaya bertenang.
“Jangan tunduk kepada provokasi dari dalam dan luar. Jangan dengar seruan untuk menyerang bangunan kerajaan. Ini adalah jenayah yang mana anda akan dihukum. Kerajaan tidak akan dijatuhkan, tetapi kita tidak memerlukan konflik,” kata Tokayev.
Menurut dua wartawan AFP, polis mula melepaskan tembakan selepas kira-kira 5,000 peserta perhimpunan enggan beredar.
Aplikasi seperti Telegram, Signal dan WhatsApp gagal berfungsi, hari ini apabila ribuan berhimpun di jalan bagi menyatakan bantahan terhadap isu harga bahan api dan kerajaan.
Perhimpunan sama turut diadakan di beberapa bandar kecil di Kazakhstan, bermula dengan Zhanaozen.
Keadaan huru-hara mula tercetus berikutan peningkatan harga LPG di Kazakhstan, namun tindakan kerajaan yang kembali mengurangkan harga bahan api itu gagal memuaskan hati peserta perhimpunan.
Tokayev, semalam menerusi Twitter berkata pihak berkuasa sudah mengambil keputusan untuk mengurangkan harga LPG di wilayah barat, Mangystau bagi mewujudkan kestabilan di dalam negara.
Mengikut laporan media bebas, pengumuman kerajaan mengenai pengurangan harga LPG kepada 50 tenge (48 sen) bagi setiap liter berbanding 120 tenge (RM1.16) pada awal tahun, gagal merungkai demonstrasi di Zhanaozen dan Mangystau.
Presiden itu turut memaklumkan bahawa suruhanjaya kerajaan sudah mula merintis usaha di Aktau.
“Suruhanjaya berkenaan diarahkan untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi merungkai masalah yang timbul, demi mewujudkan kembali kestabilan di dalam negara kita.
“Agensi penguat kuasa undang-undang juga dikerah untuk memastikan ketenteraman awam tidak diancam.
“Peserta demonstrasi mesti menunjukkan tanggungjawab dan kesediaan untuk berbincang,” katanya.