5 JAN: Masjid dan surau di Kelantan dibenarkan solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti masjid di Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan peraturan itu turut terpakai kepada surau dan musolla di seluruh negeri.
“Bagaimanapun, kedudukan antara jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.6 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) masih lagi dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Beliau berkata, MAIK mengharapkan kerjasama daripada para jemaah untuk mematuhi ketetapan ini.
Tengku Mohamad Rizam berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menutup masjid, surau dan musolla yang melanggar SOP.
“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu serta memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.