5 JAN : Sebanyak RM 3,716,419.06 termasuk bantuan wang tunai telah disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) setakat semalam.
Manakala, seramai kira-kira 920 sukarelawan terdiri daripada para pegawai dan kakitangan agensi-agensi di bawah MOT pula telah dikerahkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir sejak bencana ini melanda negara pada pertengahan Disember 2021 lalu.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi satu hantaran di Facebook rasminya berkata, selain melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, agensi-agensi di bawah MOT turut mengagihkan sumbangan berupa makanan dan minuman, barangan keperluan seperti tilam, bantal, selimut, lampin pakai buang untuk kanak-kanak, penyembur air tekanan tinggi (water jet) dan juga perabot serta peralatan elektrik kepada surau dan masjid yang terjejas akibat bencana banjir ini.
“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka bagi menempatkan mangsa banjir iaitu di Pusat Latihan Lapangan Terbang Malaysia (MATC) dan Akademi Penerbangan Malaysia (MAvA).
“Pada ketika ini, masih terdapat para sukarelawan yang berada di lapangan untuk meneruskan usaha-usaha dan bersama memainkan peranan membantu mangsa-mangsa banjir,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Beliau juga turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pegawai serta kakitangan agensi-agensi di bawah MOT yang komited membantu masyarakat di saat yang memerlukan.