6 JAN : Kementerian Kesihatan (KKM) setakat hari ini telah mengesan sebanyak 245 kes jangkitan Omicron secara keseluruhan dan 157 daripadanya atau 64.08 peratus membabitkan jemaah umrah.
Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, daripada jumlah itu, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import manakala 12 kes lagi penularan tempatan di Sarawak.
Kata Khairy lagi, terdapat penambahan sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang merekodkan 122 kes.
“Sebanyak 44 kes positif COVID-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif COVID-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Daripada 44 kes jangkitan import itu, 29 kes adalah daripada Arab Saudi, masing-masing lima kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan, tiga kes kes dari United Kingdom dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat dan Tanzania,” ujarnya menerusi satu sidang media di Parlimen hari ini.
Sementara itu, kata Khairy lagi, beliau baru sahaja menerima lagi keputusan WGS daripada IMR sebelum sidang media ini bermula di mana IMR telah mengesahkan 72 lagi kes positif COVID-19 dengan varian Omicron dan 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi.
Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan, sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) integrasi dengan kapasiti lebih besar akan mula beroperasi di Lembah Klang bermula 15 Januari ini bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak.
Katanya, empat PPV integrasi itu ialah PPV World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, Bukit Jalil; PPV IDCC, Shah Alam dan PPV Soka Gakkai, Klang.
Kewujudan PPV intergrasi ini akan meningkatkan pemberian dos penggalak di Lembah Klang dan sekiranya ada keperluan serupa di bandar-bandar besar lain, maka KMM akan menambah jumlah PPV tersebut, ujarnya.