6 JAN : FGV Holdings Bhd melaksanakan terbitan pertama Sukuk Murabahah dengan nilai nominal RM500 juta yang menyusuli Program Sukuk Murabahah pada 31 Disember 2021.
FGV dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata, hasil daripada terbitan itu dimanfaatkan oleh FGV bagi membiayai semula pembiayaan atau pinjaman sedia ada.
“Bagi mengelak sebarang keraguan, penggunaan hasil daripada Program Sukuk Murabahah ini pada setiap masa adalah untuk tujuan patuh Syariah.
“Penerbitan Sukuk Murabahah RM500 juta ini tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan dan modal saham berbayar FGV dan/atau pegangan saham pemegang saham utama dalam FGV,” katanya.
Pada Disember lalu, FGV telah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menerbitkan program sukuk berkenaan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Penasihat Syariah SC pada 10 Disember 2021.
Program Sukuk Murabahah itu meliputi tempoh lapan tahun dari tarikh terbitan pertama yang akan dibuat dalam tempoh 60 hari bekerja dari tarikh serahan kepada SC dengan setiap terbitan sukuk di bawah program berkenaan merangkumi tempoh setahun hingga lapan tahun.
Pada akhir urus niaga hari ini, saham FGV tidak berubah pada RM1.50 dengan sejumlah 1.99 juta saham didagangkan.-BERNAMA