6 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pemberian vaksin Covid-19 bagi produk vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection untuk digunakan bagi golongan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini dengan memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin tersebut.
Menurutnya, vaksin jenis berkenaan mempunyai kekuatan lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.
PBKD kata Noor Hisham lagi turut meluluskan vaksin Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection iaitu vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi.
“Vaksin ini mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (satu bulan) apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8ºC setelah dinyah beku.
“Indikasi Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham seterusnya berkata, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin Comirnaty di atas adalah Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.
PBKD juga jelas Noor Hisham memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun dan ke atas.
Katanya, ia diperlukan dengan sela masa 3 hingga 6 bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin sama yang mana pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China.
“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.