6 JAN: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan pertukaran Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Kamel Mohamad telah diketahuinya lebih awal selain hanya perkara biasa dalam kerajaan.
Katanya, tidak timbul soal berlaku ‘kemelut’ dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga memaksa pertukaran seperti didakwa sesetengah pihak.
“Tukar (SUK) itu perkara biasa kerana datang, masuk, pergi dalam setiap jawatan itu merupakan suatu proses dan tidak ada apa yang pelik.
“Kalau dia diperlukan dalam satu-satu tempat yang lebih baik, dia pergilah. Jadi tidak timbul soal kemelut ke apa sebab saya sendiri tahu sudah lama,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Negeri, di Ayer Keroh hari ini.
Menurutnya, beliau sudah tahu lama iaitu sebulan atau tiga bulan lalu berkaitan pertukaran tersebut.
Terdahulu pertukaran SUK Melaka menjadi pertikaian pelbagai pihak selepas didakwa Kamel menerima notis 24 jam dan digantikan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari.