6 JAN : Tindakan Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin dan seorang wanita yang melakukan ritual menolak bencana banjir di Teluk Intan baru-baru ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam di mana terdapatnya unsur-unsur tahyul dan khurafat.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata beliau telah pun mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap dua individu berkenaan.
“Saya telah pun mengarahkan pihak JAKIM untuk meneliti apa tindakan yang sewajarnya untuk dilakukan , kerana individu ni memang sentiasa mencari publisiti sebegitu.
“Walaupun tidak mendapat sambutan sangat, tetapi tindakan itu jelas membawa unsur yang bercangah dengan ajaran agama kita sendiri, di mana upacara itu ada unsur-unsur khurafat dan juga tahyul.
“Jadi kita serah kepada pihak berkuasa agama negeri (JAIPk) di tempat mana dia lakukan perkara tersebut, dengan kerjasama daripada JAKIM sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan Musaadah banjir kepada 200 penduduk membabitkan peruntukan RM100,000 di Kuala Balah, Jeli, petang tadi.
Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat tidak banjir bukan saja di Teluk Intan tetapi seluruh dunia..
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri, mengesahkan Ibrahim telah membuat laporan mengenai ritual itu di Balai Polis Teluk Intan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.