7 JAN : Kes COVID-19 di seluruh dunia setakat ini sudah melebihi angka 300 juta jangkitan setakat ini di mana Amerika Syarikat (AS) sahaja melaporkan 58,449,898 kes dengan 833,957 kematian yang merupakan angka tertinggi di dunia.
Angkat tersebut disahkan oleh Pusat Sistem Sains dan Kejuruteraan di Universiti Johns Hopkins dan jumlah itu sekali gus menyumbang 19 peratus daripada kes global dan 15 peratus kematian global, yang kini semakin menghampiri 5.5 juta mangsa.
Jumlah kes di seluruh dunia mencapai 100 juta pada 26 Januari 2021 sebelum meningkat kepada 200 juta pada Ogos lalu.
Sementara itu di Peru, kerajaan negara tersebut mengesahkan hampir 100,000 kanak-kanak di negara itu kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka kerana maut akibat dijangkiti COVID-19.
Berdasarkan analisis AFP mengikut data rasmi, Peru berada di tempat teratas membabitkan kematian per kapita akibat COVID-19 dengan lebih 6,000 rakyat negara itu bagi setiap sejuta maut akibat virus terbabit.
Negara dengan 33 juta penduduk itu kini berdepan gelombang ketiga COVID-19 dengan merekodkan lebih dua juta kes. Lebih daripada 202,900 penduduk di Peru terkorban sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada awal 2020.