7 JAN: Singapura mula memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada murid darjah satu hingga tiga yang berusia tujuh hingga sembilan tahun di Kelab Masyarakat Nee Soon semalam.
Kelab masyarakat itu adalah antara pusat vaksinasi kanak-kanak yang disediakan di seluruh republik berkenaan.
Latihan vaksinasi untuk kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun bermula pada 27 Disember lalu dan program itu dijangka membabitkan lebih 300,000 kanak-kanak secara keseluruhan.
Hanya vaksin Pfizer-BioNTech dianggap selamat bagi penggunaan untuk kanak-kanak di Singapura.
Setakat ini, lebih satu daripada 10 kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun telah menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama vaksinasi mereka, menurut Pengarah khidmat perubatan Singapura, Profesor Madya Kenneth Mak.
Sehingga Isnin lalu, 11.4 peratus kanak-kanak sudah menerima vaksin COVID-19 mereka di pusat-pusat vaksinasi kanak-kanak di serata Singapura.
Mendapatkan vaksinasi bagi kanak-kanak disifatkan penting dan menjadi sebahagian usaha menentang coronavirus, lebih-lebih lagi dengan varian Omicron yang semakin merebak. – AGENSI