8 JAN : Sebanyak 16 ladang babi komersil di Paya Mengkuang Melaka telah dijangkiti penyakit demam Babi Afrika (ASF) menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Norlizan Mohd Noor, JPV telah menguatkuasakan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit itu.
Katanya lagi, pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.
“Hingga semalam sejumlah 1,864 ekor ternakan babi yang disahkan positif ASF di kawasan Paya Mengkuang itu juga telah dimusnahkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan menurut Norlizan, bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di semua 35 ladang babi di kawasan itu.
Beliau berkata aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga diaktifkan membabitkan semua ladang penternakan babi di seluruh negara.
“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya (03-88702041),” katanya.