8 JAN : Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, berikrar menghapuskan ‘penyamun bersenjata’ dan memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menembak mati tanpa amaran
Tokayev turut menzahirkan ucapan ‘terima kasih khas’ kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas pakatan tentera diketuai Moscow menghantar pasukan ke Kazakhstan bagi membantu menangani krisis berkenaan.
Katanya, ketenteraman sudah pulih di sebahagian besar kawasan seluruh Kazakhstan, selepas insiden tunjuk perasaan tercetus minggu ini bagi membantah kenaikan harga minyak sehingga berlaku keganasan meluas.
“Saya sudah mengarahkan pasukan pihak berkuasa untuk menembak mati tanpa amaran.
“Pengganas berterusan merosakkan harta benda dan menggunakan kekerasan senjata ke atas orang awam,” katanya dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen.
Beliau semalam menolak desakan untuk berunding dengan pihak penunjuk perasaan, dan menyifatkan desakan pihak luar negara supaya rundingan diadakan berhubung pergolakan itu, sebagai ‘karut’
Kata Tokayev, negara sedang berdepan penyamun bersenjata dan terlatih, kedua-dua tempatan serta asing. Penyamun bersama pengganas.
“Justeru, mereka mesti dihapuskan. Ini akan dilakukan tidak lama lagi,” tegasnya.
Pasukan keselamatan dilaporkan telah bertindak menutup kawasan strategik di Almaty – bandar terbesar di Kazakhstan serta menjadi pusat insiden ganas baru-baru ini – dan melepaskan tembakan ke udara jika ada sesiapa menghampiri.
Kazakhstan kini berdepan krisis terbesar dalam tempoh berdekad-dekad, selepas sekian lama dilihat sebagai antara republik bekas Soviet yang paling stabil di Asia Tengah.