9 JAN: Lima negeri di India akan mengadakan pilihan raya dewan undangan negeri pada Februari dan Mac di tengah-tengah langkah keselamatan COVID-19 yang dipertingkatkan.
Pengundi di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk dan penting dari segi politik, akan keluar mengundi mengikut tujuh fasa antara 10 Februari dan 7 Mac untuk 403 kerusi dewan undangan negeri.
Punjab, Uttarakhand dan Goa akan mengundi pada 14 Februari dan Manipur di wilayah timur laut terpencil akan mengundi dalam dua fasa pada 27 Februari dan 3 Mac.
Jumlah kerusi dewan undangan di Punjab adalah 117, diikuti 70 kerusi di Uttarakhand, 60 kerusi di Manipur dan 40 kerusi di Goa.
Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menguasai empat negeri manakala parti Kongres pembangkang berkuasa di Punjab.
Lebih 183 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya itu dan kira-kira 85 juta daripadanya pengundi wanita.
Pengiraan undi akan berlangsung pada 10 Mac.
Semasa mengumumkan jadual pilihan raya itu di New Delhi semalam, Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Sushil Chandra dilihat tidak begitu bimbang dengan risiko penularan COVID-19.
Beliau menegaskan lonjakan jangkitan baru-baru ini adalah dari tempat seperti Maharashtra, Delhi dan Karnataka, bukan dari negeri yang terbabit dengan pilihan raya itu.
“Tidak perlu panik, tetapi masih perlu berhati-hati dan mematuhi penjarakan sosial dan amalan pencegahan COVID-19 yang sesuai,” kata Chandra.
India semalam merekodkan 141,986 kes COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam terakhir.
Jangkitan meningkat secara mendadak berbanding angka empat harian pada Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, kesemua 215,368 pusat mengundi akan dilengkapi kemudahan pencegahan COVID-19 seperti pembersih tangan, pengimbas haba, pelitup muka dan sarung tangan.
Menyifatkan situasi pandemik sebagai ‘sangat dinamik, suruhanjaya itu berkata ia akan mengeluarkan garis panduan lanjut selepas membuat semakan semula minggu depan. – BERNAMA