9 JAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berusaha mencari penyelesaian terbaik dalam meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah yang berdaftar di bawah MOTAC berikutan penangguhan aktiviti umrah sejak 8 Januari lalu.
MOTAC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengumuman penangguhan ibadah umrah selama sebulan itu bermula 8 Januari lalu, sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan para penggiat industri.
“MOTAC yakin semua agensi pelancongan pengendali pakej umrah yang berdaftar di bawah MOTAC telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh komited bagi memastikan industri pelancongan negara pulih semula.
“Para penggiat industri telah bersama-sama dengan MOTAC dalam mengharungi cabaran sejak negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sehinggalah pihak kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan pakej mengerjakan ibadah umrah beroperasi semula pada 18 Oktober 2021.
“Sehubungan itu, MOTAC berusaha mencari penyelesaian terbaik dalam meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah yang berdaftar di bawah MOTAC yang terkesan berikutan pengumuman tersebut,” katanya.
Menurut MOTAC, cabaran besar yang dihadapi pengiat industri merangkumi empat perkara iaitu visa umrah, pengangkutan jemaah di lapangan (ground transportation), tempahan penginapan dan makanan jemaah yang tidak dapat ditebus semula (refund).
Dalam pada itu, MOTAC sedang bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Persatuan-Persatuan Agensi Pelancongan yang menyediakan pakej umrah bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) umrah sedia ada untuk kelulusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa dalam menangani ancaman penularan COVID-19.
“Antara cadangan yang dibincangkan termasuklah pengesahan vaksinasi jemaah sebelum menerima bayaran pakej perkhidmatan umrah/ziarah; dan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti sebagai stesen kuarantin oleh pihak NADMA apabila pulang ke Malaysia,” katanya.
Mengulas sebilangan jemaah umrah yang didapati tiada rekod vaksinasi, katanya, MOTAC dan agensi pengendali umrah yakin perkara tersebut dapat diselesaikan menerusi siasatan yang sedang dijalankan oleh KKM.
Jelasnya, sebagai pihak yang paling terkesan, sebarang penangguhan pastinya memberi tamparan hebat bagi agensi pengendali umrah yang baru kini dapat beroperasi semula selepas hampir dua tahun bergelut dengan cabaran yang sukar.
“MOTAC percaya bahawa agensi pengendali umrah telah menjalankan tanggungjawab mereka dan melaksanakan SOP yang dibangunkan sebaik mungkin kerana pastinya mereka sendiri tidak mahu timbul sebarang masalah dalam urusan ini,” jelasnya.
Pada masa yang sama, MOTAC memaklumkan bahawa proses kelulusan pengiklanan pakej umrah/ziarah turut ditangguhkan selama tempoh penangguhan mulai 8 Januari lalu memandangkan tarikh penerbangan tidak boleh ditentukan disebabkan penangguhan yang mana merupakan syarat wajib dalam pengiklanan.