9 JAN: Pengusaha kantin dan premis dalam sekolah seluruh negara pasti boleh menarik nafas lega apabila pengecualian bayaran sewa dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Jun depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia bakal memanfaatkan lebih 10,000 pengusaha kantin, dobi, kedai buku, koperasi dan mesin air minuman di sekolah.
“KPM menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin sekolah untuk diberikan pengecualian bayaran sewa ketika ini.
“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewa kepada pengusaha kantin dan premis dalam sekolah selama enam bulan, bermula Januari hingga Jun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu , sempena pengoperasian hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 di Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM akan mengeluarkan maklumat terperinci berhubung perkara itu, dalam masa terdekat.
“Ini bukan penangguhan bayaran sewa, sebaliknya diberi pengecualian terus selama enam bulan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan kaedah penggiliran bagi kehadiran secara bersemuka untuk pelajar ditetapkan dalam pengoperasian sesi persekolahan kali ini, adalah tindakan progresif dan cermat.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan kaedah penggiliran itu adalah bergantung pada keadaan semasa COVID-19.
“Kita seboleh-bolehnya tidak mahu penggiliran, namun ia perlu dilakukan selepas mengambil kira semua keadaan, termasuk penularan COVID-19 dan varian Omicron,” katanya.