9 JAN: Mahkamah Majistret Sungai Petani menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan kepada seorang pondan selepas mengaku salah atas tuduhan melindungi Long Tiger di rumahnya, Disember lalu.
Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman kepada tertuduh, Rusli Mat, 47, yang berperwatakan seorang wanita dan bekerja sendiri dari tarikh ditangkap pada 28 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah untuk mengelak daripada ditangkap.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.
Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim Abd. Hamid, 33, atau dikenali Long Tiger di rumahnya bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada 28 Disember lalu, pukul 3.15 petang.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan rela hati memberi kebenaran kepada Abdul Hanim untuk menyembunyikan diri daripada polis sementara menunggu tekong membawanya ke Indonesia.
Tertuduh juga mengetahui Abdul Hamim merupakan individu yang dikehendaki polis kerana melarikan diri daripada tahanan semasa berada di Mahkamah Tangkak, Johor ketika menghadiri perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, pada pukul 10 pagi pada hari yang sama, Rusli telah menerima panggilan daripada Abdul Hanim yang memberitahu mahu menumpang di rumahnya sementara sebelum melarikan diri ke Indonesia.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.
Pada 28 Disember tahun lalu, sepasukan polis Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor berjaya menahan Long Tiger di rumah seorang pondan di sebuah rumah di Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petahi.