10 JAN: Empat kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket digantung tugas susulan insiden kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris semalam.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha, berkata beberapa kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan yang akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu.
“Pihak KTMB menganggap insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu , selain turut mencadangkan kepada pihak pengurusan kereta api untuk tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan insiden ini,” katanya yang kesal dengan insiden berkenaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai, hari ini.
Mohd Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB dan kejadian semalam adalah yang pertama kali.
“Dalam insiden semalam, pihak KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar di atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.
Semalam keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.