10 JAN : Sebanyak RM106 juta peruntukan telah disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan kerajaan negeri, untuk agihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir setakat hari ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, NADMA memaklumkan, lima negeri iaitu Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Perak sudah menyelesaikan sepenuhnya agihan BWI kepada ketua isi rumah terjejas banjir.
Kata kenyataan itu, sehingga jam 10 malam semalam, sebanyak 50,939 ketua isi rumah telah menerima bantuan secara tunai daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Seramai 2,558 ketua isi rumah menerima serahan tunai di rumah dan 329 lagi menerusi transaksi ‘Electronic Fund Transfer’ (EFT).
“Untuk status agihan bagi ketua isi rumah yang terkesan banjir gelombang kedua, daripada 9,887 ketua isi rumah yang didaftarkan, 921 telah menerima BWI,” kata NADMA dalam kenyataan itu.
Bagi agihan BWI yang membabitkan kematian, NADMA menyatakan, daripada 57 kes yang dilaporkan, 40 waris telah menerima bantuan RM10,000 dengan 18 daripada jumlah itu menerima tunai di PKOB manakala 22 waris lagi dibuat serahan di rumah.
Sementara itu, menurut laporan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, sejumlah 319 ketua isi rumah membuat permohonan baucar diskaun barang elektrik.
“Menurut anggaran awal Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), hampir 80,000 bilangan isi rumah terkesan dengan bencana banjir ini.
“Bantuan ini adalah untuk agihan kepada rumah kediaman pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai mangsa bencana oleh PKOB,” katanya.