10 JAN : Sebanyak lapan kes jangikitan varian Omicron dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang membabitkan individu baru pulang dari mengerjakan umrah, di mana kes pertama positif varian Omicron direkodkan pada15 Disember tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata, ia membabitkan dua kes di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun manakala satu kes di Kuala Nerus serta Kemaman.
“Kes pertama varian ini direkodkan 15 Disember lalu membabitkan seorang jemaah wanita dari Kuala Nerus yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah (HSO). Mereka ini dikategorikan pesakit tahap 1 dan 2 dengan kesemua mereka sudah melengkapkan suntikan COVID-19.
“Kesemua kes ini tidak merebak dalam kalangan ahli keluarga atau komuniti memandangkan mereka terlebih dahulu menjalani kuarantin sebaik pulang daripada umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.
Katanya lagi, kes positif di Terengganu turut menunjukkkan pengurangan apabila pendaftaran kes juga direkodkan berada di bawah 100 kes dalam tempoh tiga hari sehingga semalam.
“Setakat ini, kes harian positif COVID-19 di Terengganu menunjukkan penurunan sejak tiga hari lalu dengan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) berada pada bacaan 0.87 sehingga semalam.
“Bagaimanapun, dalam tempoh tiga minggu sebelum ini, kita agak risau dengan kemasukan kes ke hospital dan kematian yang agak tinggi di Terengganu. Tetapi dengan tindakan yang diambil, kemasukan kes ke hospital dan kematian juga berkurangan.
Menurutnya lagi, walaupun terdapat peningkatan kes dalam kalangan umrah dan kes Omicron namun kes jangkitan varian tersebut di Terengganu setakat ini masih lagi terkawal.