10 JAN: Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya termasuk meluluskan pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) pada 21 Disember lalu untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar.
Melalui pindaan tersebut, denda maksimum telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat juga peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.
“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) hari ini bagi membincangkan tentang tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.
Di peringkat Persekutuan turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.
Dalam mesyuarat tersebut, MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun (2021 hingga 2030) melalui enam pendekatan.
Ismail Sabri berkata, pendekatan tersebut ialah rondaan penguatkuasaan dan pengawalan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.
Selain itu, katanya, pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.
Pendekatan ketiga, katanya, meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.
“Memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN,
Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya.
“Memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal
Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.
“Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik. Penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya. Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya,” katanya.
Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di Malaysia kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.
Antara lain, ia disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.