10 JAN : Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlu memastikan bahawa agensi tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan, ia perlu untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya juga ingin mengingatkan majikan yang ingin menggajikan pekerja warga asing agar mengemukakan permohonan sendiri dan berdasarkan kepada keperluan sebenar pekerja asing, dan tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan tersebut.
“Kemasukan pekerja warga asing untuk semua sektor pekerjaan diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember tahun lalu untuk semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan serta kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat mengenai tarikh permohonan yang boleh dikemukakan majikan secara dalam talian bagi proses pengambilan pekerja warga asing untuk setiap sektor pekerjaan yang dibenarkan dari negara sumber tenaga kerja
“Sebelum ini, kelulusan diberikan untuk kemasukan seramai 32,000 pekerja warga asing bagi sektor perladangan secara pengecualian khas dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja warga asing yang telah diluluskan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 pada 14 Disember tahun lalu.
“Pelaksanaan SOP ini merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pasca kuarantin,” katanya.