11 JAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) melakar banyak kejayaan yang membanggakan negara sepanjang tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran, tahun lalu menyimpan kejayaan bermakna apabila dua pelabuhan negara iaitu Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Tanjung Pelepas telah berjaya mencapai rekod baharu dalam pengendalian kontena walaupun di peringkat global bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Dalam masa sama, MOT tidak pernah sesekali mengabaikan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi ketika berdepan waktu sukar.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk membantu Keluarga Malaysia sepanjang tahun lalu antaranya, pengecualian daripada keperluan memperbaharui Lesen Memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
“Memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had bagi perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana dan KTMB (Kereta Api Tanah Melayu Berhad), dan menyalurkan bantuan tunai secara ‘one-off’ kepada pemandu teksi / kereta sewa, e-hailing, bas persiaran, pemandu pelancong dan pemandu bas sekolah,” katanya dalam Facebooknya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan MOT hari ini.
Dalam perhimpun itu, Ka Siong turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga MOT yang memainkan peranan masing-masing membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkenaan, beliau berkata MOT turut memberi diskaun 80 peratus pembayaran saman bagi kesalahan disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003 sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Justeru, pada tahun ini, beliau menyeru menyeru kepada warga MOT agar terus bersama-sama bekerja keras untuk mencipta kejayaan-kejayaan baharu.
Pada masa sama katanya, terus membela nasib rakyat khususnya melibatkan industri pengangkutan.