11 JAN : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menerima sebanyak 1,879 permohonan untuk baik pulih rumah di kawasan banjir seluruh negara, manakala sebanyak 165 lagi permohonan adalah untuk membina rumah baharu.
Menurut Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan bin Harun pihaknya juga telah memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan. Empat buah rumah lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang.
“KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15 ribu untuk kerja-kerja pembaikan rumah, RM56 ribu untuk membina baharu di Semenanjung dan RM68,000 untuk bina baharu di Sabah dan Sarawak,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kata Ramlan lagi, PKLB turut menerima lebih 300 lagi permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan dan bina baharu rumah pasca banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia telah diterima oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang yang mula dibuka hari ini.
Pusat Sehenti yang dibuka selama tiga hari bermula itu bertujuan menyedia saluran bagi memudah cara mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang yang disediakan sebelum diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
KPLB mengambil inisiatif ini untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak.