11 JAN: Perintah reman seorang doktor swasta dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 di Terengganu disambung sehingga Khamis ini.
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda Perintah memerintahkan reman terhadap suspek berusia 51 tahun itu di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Suspek sebelum ini ditahan Sabtu lalu direman selama tiga hari sehingga hari ini.
Terdahulu polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan vaksinasi.
Ia terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek pada Sabtu.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.
Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 dikenakan oleh suspek.