12 JAN : Trend ‘unboxing isteri’ yang tular di media sosial baru-baru ini boleh menbawa kepada keruntuhan institusi keluarga, demikian tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menurut beliau, ini kerana ia membabitkan bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi keluarga, yang melakukan tindakan yang tidak mengikut landasan nilai Islam yang betul.
“Hal ini bukan perkara pelik di mana masyarakat hari ini hidup dalam zaman bercampur baur antara perkara halal dengan haram.
“Kita dapat liharlt hari ini bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’ (pengikut).
“Perbuatan seperti ini sedikit sebanyak memberi tempias dengan menjejaskan nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam.
“Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat dan sehubungan itu, JAKIM telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019–2025.
Pelan itu katanya diperkenalkan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Antara langkah diperkenalkan melalui pelan itu ialah penetapan agar setiap agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mesti memanfaat dan mengoptimumkan penggunaan media massa serta media sosial bagi mempromosikan nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.
“Perancangan pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kerjasama holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam kini.
“Saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosikan nilai keluarga Islam, terutama dalam saluran media baharu yang ada,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perbuatan ‘unboxing isteri’ adalah jelas bertentangan prinsip dan budaya Islam.
Baru-baru ini, tular dalam aplikasi TikTok mengenai trend ‘unboxing’ dalam kalangan pasangan pengantin baharu
Melalui video yang tular, pengantin lelaki dilihat membantu membuka tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori pada bahagian kepala isteri.
Dalam video itu, wanita berkenaan dilihat masih memakai busana pengantin dan ia dirakam sendiri oleh pengantin perempuan terbabit yang duduk di hadapan cermin