13 JAN: Polis akan merakam percakapan lima lagi saksi berhubung kes seorang hakim kanan yang didakwa berbaring dalam keadaan berbogel di bilik tidur seorang wanita yang sudah berkahwin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata semua individu itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk dirakam keterangan.
“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan tiga individu iaitu wanita yang juga pengadu dan anaknya serta hakim kanan berkenaan.
“Keterangan mereka adalah penting untuk siasatan kes ini, sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan,” lapor BH hari ini.
Semalam, Mohamad Farouk memaklumkan, hakim kanan itu membuat laporan balas menyatakan dakwaan wanita berkenaan adalah tidak benar dan palsu.
“Siasatan masih dijalankan dan segala bukti yang ada sedang dikumpulkan bagi membantu melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.
Beliau berkata, laporan balas hakim itu dibuat beberapa hari selepas wanita terbabit membuat laporan polis berkaitan kejadian yang didakwa berlaku pada Ogos tahun lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan,” katanya.
Selasa lalu, Polis Daerah Ampang Jaya, mengesahkan sedang menyiasat seorang hakim kanan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita yang sudah berkahwin pada 2020.
Kejadian ketika hakim itu datang melawat wanita berkenaan yang tinggal bersama suaminya yang terlantar sakit, sebelum meminta izin untuk solat.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa lelaki itu solat terlalu lama sebelum memeriksa biliknya dan mendapati dia baring atas katil dalam keadaan berbogel.
Lelaki itu dikatakan meninggalkan rumah berkenaan pada jam 3 pagi hari yang sama.