13 JAN: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak menyentuh mengenai desas-desus akan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, kata Datuk Hasni Mohammad.
Menteri Besar Johor itu berkata, pihaknya sedang memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN negeri itu.
“Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, perbincangan tempoh hari hanya menyentuh mengenai permintaan parti itu untuk UMNO Johor meneruskan kerja di negeri itu.
“Bukan soal PRN, mungkin penjelasan sedikit sahaja cuma kita minta UMNO Johor buat kerja,” katanya kepada media hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Hasni memaklumkan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung isu PRN.
Walaubagaimanapun, beliau akui tidak selesa dengan majoriti tipis kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, namun isu sokongan tidak berbangkit buat masa ini.
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Hasni kini hanya mempunyai 28 kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia.
Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.