13 JAN: Sejumlah 46 orang daripada lima keluarga di Sibu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.
Sibu menjadi daerah pertama di Sarawak yang terjejas akibat banjir.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Janggan Muling berkata, PPS itu mula dibuka pada jam 3.14 petang melalui arahan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Wong Hee Sieng.
Beliau berkata, sebaik menerima maklumat awal banjir kilat pada jam 12 tengah hari, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah yang dikejarkan ke lokasi mendapati sebahagian kawasan terjejas telah dinaiki air pada anggaran ketinggian 0.76 meter di atas jalan raya.
“Ketika itu, terdapat tiga rumah sudah dinaiki air setinggi satu kaki (0.3 meter) dengan trend air pasang dan cuaca hujan,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.
Mangsa banjir terdiri daripada dua warga emas, 26 dewasa, 16 kanak-kanak dan dua bayi.
Sementara itu, keadaan banjir di Johor semakin baik apabila bilangan mangsa banjir di PPS berkurang daripada 821 orang kepada 705 mangsa pagi ini.
Setakat ini, mangsa banjir daripada 206 keluarga terbabit masih ditempatkan di 17 PPS setakat jam 8 pagi ini, berbanding jam 8 malam tadi, seramai 821 mangsa daripada 242 keluarga ditempatkan di 19 PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, hanya tiga daerah masih terjejas banjir ketika ini iaitu Segamat, Tangkak dan Batu Pahat.