13 JAN: Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 15 Januari ini bermula 10 malam.
PLUS berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua 83 plaza tol yang terdapat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
“Pada ketika ini terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara atas talian, tambah PLUS.
Maklumat lanjut berhubung RFID boleh layari laman web http://rfid.plus.com.my. – BERNAMA