14 JAN : UMNO kini bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya dibubarkan dalam waktu terdekat
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jentera pilihan raya UMNO Johor juga telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRN Johor jika desas-desus mengenainya menjadi kenyataan.
Katanya, kesiapsiagaan jentera UMNO dengan melakukan pendekatan operasi di beberapa tempat serta dilihat menerusi kejayaan beberapa PRN lalu.
“Bukan sesuatu di luar kebiasaan PRN Johor untuk kami menyertainya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Ahmad Zahid sebelum itu menerima memorandum ‘Notice of Liability’, bantahan terhadap Akta 342 daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi lampu hijau kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.
Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis satu kerusi menerusi 28 DUN berbanding 27 di blok pembangkang dan dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli DUN (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.
Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka November lalu memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus meyakinkan UMNO untuk menghadapi PRN Johor.