15 JAN: Permohonan pengambilan pekerja asing bagi sektor dibenarkan akan dibuka secara berperingkat mulai hujung bulan ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia didahului permohonan untuk pengambilan 32,000 pekerja asing sektor perladangan secara pengecualian khas iaitu mulai 28 Januari ini.
Katanya, permohonan pekerja warga asing bagi sektor lain yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing termasuk sektor perladangan tanpa pengecualian khas akan mula dibuka pada 15 Februari ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember lalu, bersetuju untuk pengambilan pekerja asing dalam sektor dibenarkan bagi penggajian pekerja asing. Permohonan boleh dibuat majikan di laman sesawang www.fwcms.com.my.
“Selain daripada tarikh diumumkan untuk kemasukan pekerja warga asing, kita mengingatkan semua majikan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kemasukan Pekerja Warga Asing ditetapkan kerajaan.
“Ia merangkumi empat fasa iaitu pra pelepasan, ketika dan selepas ketibaan serta pasca kuarantin. Semua pekerja asing perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan dua kali ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tersebut yang akan ditanggung majikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saravanan berkata, ketika ini, semua pusat kuarantin dan hotel bagi tujuan kuarantin berada di Lembah Klang dengan kapasiti seramai 10,000 pada satu-satu masa.
“Justeru, Kementerian Sumber Manusia mengalu-alukan mana-mana pihak berminat untuk menawarkan khidmat sebagai pusat kuarantin atau hotel bagi tujuan kuarantin.
“Ia perlu mematuhi syarat dan kriteria ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.