15 JAN: Putera Andrew digugurkan semua pangkat ketenteraan dan gelaran diraja susulan beliau berdepan dengan tindakan undang-undang selepas didakwa terlibat dalam skandal penderaan seksual.
Anak kedua Ratu Elizabeth II itu tidak akan lagi menggunakan gelaran Yang Mulia (His Royal Highness) dan telah digugurkan daripada sebarang tugasan diraja pada 2019 berikutan hubungannya dengan pesalah seksual warga Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Epstein.
Keputusan itu, diumumkan oleh Istana Buckingham pada Khamis dalam satu kenyataan ringkas, mendominasi akhbar United Kingdom (UK) semalam.
“Dengan persetujuan dan kelulusan dari Ratu Elizabeth, semua pangkat ketenteraan dan gelaran diraja yang diberikan terhadap Duke of York akan digugurkan.
“Duke of York juga tidak dibenarkan melakukan sebarang tugasan diraja dan perlu berdepan dengan kes yang berlangsung seperti rakyat biasa,” menurut Istana Buckingham dalam kenyataan.
Kelmarin, peguam Putera Andrew gagal meyakinkan hakim di AS untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Virginia Giuffre yang menuduhnya melakukan penderaan seksual terhadapnya ketika dia berusia 17 tahun.
Mahkamah Daerah AS, Lewis Kaplan menyatakan, Giuffre, 38, boleh meneruskan pendakwaan yang menyaksikan Andrew menggunakan kekerasan terhadapnya dan dengan sengaja menyebabkan tekanan emosinya terganggu ketika Epstein membunuh diri dalam penjara pada 2019 didapati bersalah menyeludupnya sebagai hamba seks.
Andrew, 61, menafikan dakwaan Giuffre yang menyatakan beliau memaksa wanita itu melakukan hubungan seks dengannya sebanyak beberapa kali.
Keputusan yang dibuat oleh Kaplan itu menyaksikan Andrew perlu mengemukakan bukti dalam perbicaraan yang mungkin bermula antara September dan Disember 2022 sekiranya tiada penyelesaian dicapai. – REUTERS