15 JAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu menafikan dirinya terlibat dalam pengambilan dadah dan percaya beliau berkemungkinan berdepan insiden yang mencurigakan.
Beliau yang terkejut apabila didapati positif dadah menyatakan seseorang telah datang ke mejanya dan mengisi gelas minuman miliknya yang disifatkan sebagai minuman ‘aneh’.
“Ada saksi mendakwa terdapat seseorang telah datang ke meja saya dan mengisi gelas minuman miliknya yang disifatkan sebagai minuman ‘aneh’.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih selama dua penggal, saya amat menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin dengan salah satunya mematuhi undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Wakil rakyat DAP itu turut menegaskan akan mempertahankan diri untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung insiden penahanannya di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam itu.
“Sepertimana dilaporkan media, sayalah ADUN yang ditahan polis itu. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden ini bahawa saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.
“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang dan sebenarnya saya sendiri juga terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak.
“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana. Jadi saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk menyatakan bahawa dirinya berkemungkinan terdedah kepada anasir mencurigakan yang membawa kepada insiden itu.