16 JAN : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini telah menerima 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di lapan negeri terjejas banjir baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebanyak 1,879 permohonan adalah untuk membaik pulih rumah manakala 165 untuk bina semula rumah dengan anggaran kos setakat ini berjumlah lebih RM38.52 juta.
Bagaimanapun katanya, jumlah permohonan itu adalah setakat 9 Jan lepas dan ia dijangka meningkat selepas pihaknya mendapat data dan maklumat terbaharu daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terlibat.
“Akan ada tambahan permohonan lagi, kita masih menunggu data dan maklumat daripada PKOB, macam di Sepang dan Hulu Langat di Selangor kita telah menerima maklumat tapi dimaklumkan oleh pegawai daerah berkenaan ada maklumat terbaharu.
“Mana maklumat yang telah diterima dan maklumat itu betul, kita jalankan (baik pulih atau pembinaan baharu rumah), ini termasuk yang serius adalah di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Naka di sini hari ini.
Kata Mahdzir lagi, kerajaan menetapkan jumlah maksimum RM15,000 bagi baik pulih rumah dan RM56,000 bagi bina semula rumah dan kontraktor yang dilantik perlu menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kalau yang baik pulih, kalau dah lantik kontraktor itu maknanya dalam tempoh sebulan atau sebelum sebulan kena siap, kalau boleh 20 hari. Kalau buat rumah baharu pula, empat ke enam bulan. Kita harap tempoh paling pendek dapat selesaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahdzir menjelaskan secara keseluruhannya KPLB telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi membaik pulih rumah dan kemudahan yang terjejas banjir di kawasan-kawasan luar bandar di lapan negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina semula rumah, RM50 juta untuk membaiki jalan kampung yang rosak dan RM50 juta lagi untuk membaik pulih ameniti sosial seperti masjid, surau, tanah perkuburan, longkang dan pagar.
Baru-baru ini beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu dilanda banjir manakala Johor dan Sabah masih mengalami bencana itu.