16 JAN : Wilayah Sulawesi Utara, Indonesia akan mengeksport 10,000 tan minyak kelapa mentah bernilai AS$17.27 juta (RM72 juta) ke Malaysia pada awal tahun ini, kata pegawai perdagangan.
Agensi berita Antara memetik kenyataan Ketua Pejabat Perindustrian dan Perdagangan Wilayah Sulawesi Utara, Darwin Muksin, yang mengesyorkan peladang dan pedagang memanfaatkan permintaan Malaysia itu.
Beliau juga menggesa peladang mengekalkan kualiti produk untuk memenuhi keperluan pasaran.
“Permintaan yang kukuh adalah berita baik buat kalangan peladang dan pedagang memandangkan ia menjadikan kelapa lebih menguntungkan untuk ditanam”, katanya.
Tambah Darwin, kerajaan akan terus menyokong industri itu menerusi strategi eksport dan menggalakkan peserta industri untuk berkembang.
“Produk berasaskan kelapa adalah bahagian terbesar daripada eksport keseluruhan Sulawesi Utara,” katanya. – BERNAMA