17 JAN : Pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah disalurkan hampir 100 peratus kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang pertama setakat ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini, sebanyak 97.1 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) di tiga negeri yang telah selesai pembayaran BWI gelombang pertama dan kedua ialah Perak (309 KIR), Terengganu (451 KIR) dan Kuala Lumpur (1,175 KIR).
“Bantuan Barangan Keperluan Asas turut diagihkan kepada KIR yang rumah ditenggelami air ketika banjir monsun timur laut (MTL) 2021/2022.
“Kuala Lumpur mencatat peratusan pembayaran sebanyak 94 peratus, manakala Melaka sudah membuat pembayaran kepada 57.4 peratus daripada KIR terkesan,” katanya.
Laporan Unit Penyelarasan Pelaksanaan bagi bantuan Pembaikan Rumah Maksimum RM5,000 pula menyebut Kelantan sudah selesai membuat pembayaran kepada 13 KIR (100 peratus).
Menurut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat pertambahan dua kejadian tanah runtuh direkodkan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan insiden itu sepanjang MTL 2021/2022 ialah 282.
Kenyataan itu berkata, tiada pertambahan kejadian cerun runtuh dan jalan runtuh dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah keseluruhan insiden kekal 47.