18 JAN : Cadangan pengusaha bas sekolah supaya kerajaan melanjutkan had usia penggunaan kenderaan itu kepada 35 tahun, perlu diperhalusi berdasarkan faktor keselamatan secara menyeluruh terutama pelajar, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata, laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung kajian sama ada perkara itu boleh dilaksanakan, akan mengambil kira faktor berkenaan.
“Saya meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membawa kertas kajian oleh MIROS kerana ia membabitkan faktor keselamatan penggunaan kenderaan. Paling penting, saya tidak boleh berkompromi mengenai keselamatan pelajar kerana mereka yang menaiki bas sekolah.
“Jika dibenarkan, saya perlu melihat apa syarat perlu ditetapkan dan rasional syarat berkenaan. APAD akan akur dengan keputusan dasar dibuat oleh Kementerian Pengangkutan mengenai perkara itu berdasarkan laporan kajian dikeluarkan MIROS nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Ka Siong memaklumkan buat masa ini, kerajaan memberi kelulusan melanjutkan had usia penggunaan bas sekolah kepada 32 tahun, selain membenarkan pembaharuan lesen bas sekolah yang melebihi had usia 30 tahun susulan terkesan pandemik COVID-19.
“Pembaharuan lesen bas sekolah dibenarkan selari kelulusan melanjutkan tempoh had usia kenderaan,” katanya.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, Amali Munif Rahmat, menyuarakan cadangan itu berikutan pengusaha bas sekolah juga terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ditanya cadangan Amali berhubung dana pinjaman mudah kerajaan dan pinjaman tanpa faedah sepenuhnya melalui agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta TEKUN bagi Skim Penggantian Bas Sekolah berusia lebih 20 tahun pula, Ka Siong berkata, pihaknya akan memperhalusi perkara itu dan berbincang dengan Kementerian Kewangan. – BERNAMA